KUALA LUMPUR – Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian parti, tegas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Menurut beliau, perkara asas berhubung peruntukan dalam Perlembagaan parti itu sepatutnya difahami oleh setiap pimpinan dan ahli.
“Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian. Perkara asas seperti ini pun ada yang tidak faham,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan dakwaan bahawa Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong telah dibubarkan sebaliknya menegaskan tindakan tersebut tidak berasas serta bercanggah dengan perlembagaan parti.
Katanya, ibu pejabat Bersatu menerima laporan berhubung beberapa pautan media sosial dan kenyataan media yang mendakwa, kononnya empat bahagian berkenaan dibubarkan susulan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa bahagian.
Menurut beliau, perlembagaan parti tidak memperuntuk kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian.
Mengulas lanjut, Tun Faisal mendakwa, kekeliruan tersebut menyebabkan ada pihak mudah terpedaya dan membuat tafsiran yang salah terhadap peruntukan parti.
Beliau turut mendedahkan dalam satu mesyuarat, seorang pemimpin kanan didakwa tidak memahami kandungan Perlembagaan Bersatu sehingga beranggapan keputusan Lembaga Disiplin boleh dipulangkan semula, diatasi dan diubah.
“Dalam Perlembagaan Bersatu jelas menyebut mengenai kuasa-kuasa lembaga disiplin dan keputusan-keputusan lembaga disiplin adalah muktamad,” ujarnya.
Beliau menegaskan, semua pihak perlu merujuk dan memahami perlembagaan parti dengan tepat bagi mengelakkan kekeliruan serta tindakan yang bercanggah dengan peruntukan yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
Dakwaan 4 bahagian Bersatu dibubar tak berasas, bercanggah Perlembagaan – Azmin
















