KUALA LUMPUR – Polis mengesan sekurang-kurangnya lima kejadian khianat membabitkan mesin juruwang automatik (ATM) di sekitar Jinjang dalam tempoh dua hari dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan hampir RM64,000.
Kesemua kejadian dipercayai dilakukan individu sama yang bertindak memecahkan skrin ATM sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pada Isnin lalu kira-kira pukul 8.40 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima laporan daripada seorang lelaki Melayu berusia 38 tahun yang bekerja sebagai juruteknik ATM di Cawangan Maybank Jinjang Selatan.
Menurut beliau, pengadu memaklumkan semasa menjalankan kerja penyelenggaraan, beliau mendapati, empat skrin mesin ATM di premis berkenaan telah retak disyaki akibat perbuatan khianat oleh individu tidak dikenali.
Kerugian bagi kejadian tersebut dianggarkan kira-kira RM4,000.
“Pada 17 Februari 2026 (semalam) antara pukul 12.24 tengahari hingga 10.16 malam, pihak polis menerima empat lagi laporan berkaitan kejadian sama iaitu dua kes di Cawangan Maybank Jinjang Selatan, satu kes di Cawangan RHB Jinjang Utara dan satu kes di Cawangan Public Bank Jinjang Utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, jumlah kerugian bagi empat kes tambahan itu dianggarkan sekitar RM60,000.
Susulan laporan yang diterima, pihaknya telah melancarkan operasi khas bagi mengesan dan menangkap suspek.
Berdasarkan maklumat awal, suspek merupakan seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti, berketinggian kira-kira 165 sentimeter, berbadan sederhana dan berkulit cerah.
Ketika kejadian, suspek dilaporkan memakai kemeja lengan pendek berwarna kelabu, seluar panjang dan selipar hitam.
Suspek turut memakai topi keledar berwarna biru serta menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna biru dengan nombor pendaftaran yang belum dikenal pasti.
Menurut Basri, modus operandi suspek adalah dengan memasuki ruang kaunter bank kemudian terus memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu sebelum melarikan diri.
Setakat ini, tiada unsur jenayah lain dikenal pasti.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan niat jahat sehingga menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette















