Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan dan semua pihak menghentikan budaya menggunakan kes rasuah sebagai alat ugutan; tawar-menawar politik atau alat menutup kelemahan tadbir urus.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, negara ini tidak boleh dipimpin melalui ketakutan dan permainan fail, dokumen mahupun tangkap layar, sebaliknya mesti dipimpin melalui undang undang, ketelusan dan integriti institusi.

Sehubungan itu, ujarnya, ABIM menuntut agar agenda antirasuah dipulihkan kepada landasan sebenar melalui reformasi institusi yang jelas, berani dan boleh diukur.

Antaranya, menurut beliau, dengan memastikan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); mempercepat pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya; memperkukuh perlindungan pemberi maklumat; menggubal akta pembiayaan politik yang telus serta memantapkan sistem perolehan kerajaan agar tidak terus menjadi ruang kronisme.

“ABIM memandang serius kekeliruan dan keresahan rakyat apabila isu rasuah semakin dipersembahkan dalam bentuk retorik, persepsi dan perang propaganda, seolah-olah “antirasuah” hanya slogan untuk mengukuhkan kuasa, bukannya reformasi untuk membina negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Fahmi, rakyat tidak akan percaya kepada perang antirasuah jika tindakan dilihat selektif, tidak konsisten atau berubah mengikut musim politik.

Katanya, keadilan yang hanya tegas kepada musuh tetapi lunak kepada rakan bukan ‘reform’ dalam erti kata sebenar, sebaliknya pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan pencabulan terhadap kepercayaan rakyat.

Tegas beliau, hipokrasi politik tidak boleh dijadikan alasan untuk rakyat menyerah kalah kepada rasuah.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga tidak boleh mengharapkan rakyat terus percaya jika agenda reformasi hanya kuat pada ucapan tetapi lemah pada pelaksanaan.

“Rakyat menilai melalui tindakan, bukan semata-mata kepada slogan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast