Gambar : Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan hasrat untuk melihat sektor pertanian di Pulau Tioman diperkasa secara menyeluruh sebagai usaha memperkukuh ekonomi dan jaminan bekalan makanan masyarakat tempatan.

Baginda bertitah bahawa projek pembangunan pertanian yang dirancang di pulau peranginan itu amat penting dan diharapkan menjadi “success story” serta penanda aras (benchmark) kepada kawasan lain di negeri ini.

“Sebab pertanian ini, saya rasa ada keperluan untuk masyarakat tempatan. Kita tidak boleh mengharap bahan-bahan makanan daripada tanah besar. Jangan kata tanah tak cukup. Tanah itu ada, mencukupi, tetapi tenaga kerja yang perlu diperkasakan. Sikap dan pemikiran juga perlu berubah,” titah baginda menerusi Kesultanan Pahang hari ini.

Baginda sebelum itu menyempurnakan Pelancaran Projek Hidroponik Pintar di Kampung Tekek, Pulau Tioman diiringi Tengku Panglima Raja Brigedier, Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah menekankan bahawa anak-anak muda di Pulau Tioman perlu tampil ke hadapan dan bersama-sama menceburi bidang pertanian secara serius, termasuk mendapatkan bimbingan serta latihan teknikal bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam sektor tersebut.

Katanya, tanah-tanah terbiar di setiap kampung perlu dikenal pasti dan diusahakan semula untuk tujuan pertanian.

“Perbincangan juga boleh diadakan dengan pihak berkaitan termasuk pemilik tanah pusaka dan agensi Persekutuan sekiranya melibatkan tanah di bawah bidang kuasa tertentu.

“Jangan beri alasan tiada tanah. Tanah ada, cuma perlu diurus dan diusahakan dengan betul. Mana-mana tanah yang sesuai, kita bincang dan majukan untuk pertanian,” titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut memaklumkan telah berbincang dengan wakil rakyat berkaitan usaha penanaman padi di tanah besar sebagai langkah jangka pendek, sebelum Pulau Tioman mampu mengurus dan mengeluarkan hasil makanan sendiri secara lebih tersusun pada masa hadapan.

Baginda berharap dalam tempoh setahun akan datang, perubahan positif dapat dilihat termasuk pembukaan kawasan-kawasan baharu untuk aktiviti pertanian di pulau berkenaan.

Sebagai tanda komitmen, baginda bertitah akan berangkat melawat setiap kampung di Pulau Tioman dalam tempoh setahun bagi meninjau sendiri perkembangan dan pelaksanaan inisiatif tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast