KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh mengulangi episod di Indonesia pada 2015 apabila kepimpinan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) digoncang susulan tindakan terhadap Abraham Samad dan Bambang Widjojanto.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, sejarah menunjukkan apabila kepimpinan agensi antirasuah diganggu ketika tindakan penguatkuasaan sedang agresif, pihak yang paling mendapat manfaat ialah kartel dan jaringan berkepentingan.
Menurutnya, di Malaysia, kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Tan Sri Azam Baki telah menyaksikan pendakwaan terhadap tokoh-tokoh berprofil tinggi.
Sehubungan itu, ujar beliau, apabila tindakan menyentuh `jerung besar’, tentangan terhadap SPRM akan menjadi luar biasa.
“MCW melihat pola yang jelas yang mana berlaku serangan berulang di media sosial; manipulasi persepsi terhadap isu pentadbiran dan cubaan membingkaikan naratif krisis institusi terhadap SPRM.
“Kesemua ini bukan berlaku secara kebetulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dalam krisis di Indonesia, institusi KPK melalui fasa ketidakstabilan berpanjangan dan Malaysia tidak boleh mengambil risiko yang sama.
Ujarnya, tindakan drastik terhadap SPRM tanpa asas jenayah yang jelas hanya akan menghantar isyarat salah kepada perasuah; memberi kemenangan moral kepada kartel dan melemahkan semangat pegawai penyiasat.
“MCW berpandangan bahawa selagi tiada pertuduhan jenayah dibuktikan di mahkamah, kepimpinan SPRM mesti terus berfungsi tanpa gangguan,” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, isu yang dibangkitkan berkaitan had pemilikan saham oleh Azam dan prosedur pentadbiran bukan secara automatik kesalahan jenayah.
Kata beliau, siasatan dan pendakwaan boleh dilakukan sekiranya terdapat bukti rasuah, namun jika sebaliknya, maka isu pentadbiran tidak boleh dijadikan sebagai senjata politik.
“Negara tidak boleh ditadbir berdasarkan desakan emosi atau tekanan siber,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Jais, MCW berdiri teguh bahawa Azam mesti terus disokong untuk menangkap semua perasuah tanpa mengira pangkat; membongkar kartel yang mengancam ekonomi negara dan memastikan penguatkuasaan tidak tunduk kepada tekanan.
Katanya, meskipun meskipun MCW mempertahankan prinsip tiada siapa yang kebal daripada siasatan, namun institusi antirasuah juga tidak boleh dijadikan sasaran pelemahan strategik.
“Malaysia sedang berada pada fasa kritikal reformasi integriti.
“Melemahkan kepimpinan ketika operasi sedang berjalan hanya akan menguntungkan mereka yang terancam,” katanya. – MalaysiaGazette
















