KUALA LUMPUR – Di sebalik gelombang pembubaran jawatankuasa bahagian; peletakan jawatan kepimpinan dan ahli-ahli yang bertindak keluar parti itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih ada harapan dan peluang untuk dipulihkan.
Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, Bersatu masih mempunyai jaringan akar umbi, wakil rakyat serta pengalaman mentadbir di peringkat Persekutuan dan negeri.
Kata beliau, sekiranya kepimpinan Bersatu dapat meredakan konflik melalui pendekatan musyawarah, memperkukuh disiplin parti dan menampilkan agenda yang lebih jelas tentang ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan rakyat, peluang untuk kembali stabil tetap ada.
Sehubungan itu, ujarnya, masa depan Bersatu bukan ditentukan semata-mata oleh perpecahan yang sedang berlaku hari ini, tetapi oleh cara parti itu mengurus krisis tersebut.

“Jika krisis ini dijadikan ruang pembaharuan dan pengukuhan dalaman, Bersatu masih berpotensi untuk kekal dalam landskap politik Malaysia.
“Jika tidak, ia akan berdepan cabaran yang semakin berat dalam persaingan politik akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perpecahan dalaman Bersatu yang dilihat semakin parah selepas lebih 30 bahagian parti itu di seluruh negara kini mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing.
Kemelut politik itu dilihat semakin meruncing selepas Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah semalam.
Sementara itu, ditanya sejauh mana krisis yang melanda Bersatu akan turut memberi kesan kepada Pas khususnya berkenaan keberadaan dalam Perikatan Nasional (PN), Hussain Yusri mengakui ia boleh menimbulkan persepsi awam terhadap kestabilan sesebuah gabungan politik.
Bagaimanapun, beliau menilai buat masa ini, pendekatan paling rasional bagi Pas bukanlah berpisah secara tergesa-gesa, tetapi mengurus risiko, memperkukuh kedudukan sendiri dan bertindak berdasarkan analisis pilihan yang matang.
Jelasnya, keputusan politik yang bijak bukan sekadar reaksi terhadap krisis semasa, tetapi penilaian menyeluruh terhadap masa depan.
Tambahnya, pilihan untuk berpisah hanya wajar sekiranya krisis Bersatu menjadi terlalu serius sehingga menjejaskan kestabilan keseluruhan gabungan.
“Persepsi negatif terhadap Bersatu secara konsisten tidak dinafikan boleh menghakis sokongan terhadap Pas dan Pas juga mempunyai alternatif kerjasama yang lebih menguntungkan dan stabil,” katanya. – MalaysiaGazette
















