KUANTAN – Sedekad selepas kehilangan suami dalam nahas udara tragis di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang, seorang balu sekali lagi diuji dengan kehilangan anak sulung tercinta.
Pada 21 Disember 2016, suami kepada S. Usha, Mejar C. Kayamboo terkorban apabila pesawat jenis Beechcraft B200T yang dinaikinya terhempas di dalam kawasan pangkalan udara Butterworth.
Kini 10 tahun kemudian, tragedi kembali menghantui keluarga itu apabila Indiran, 22 yang merupakan anak sulung keluarga itu meninggal dunia secara mengejut ketika mengikuti Kursus Krew Armor Kelas 1 di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di Kem Batu 10 di sini semalam.
Indiran yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
Usha yang cuba menahan sebak berkata, anaknya menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi merealisasikan impian menjadi seperti mendiang bapanya.
“Walaupun berada dalam tentera darat, dia merancang untuk menyambung pelajaran bagi meningkatkan kerjaya dan pangkatnya. Bapanya sentiasa menjadi inspirasi untuk dia berjaya.
“Namun kejadian ini benar-benar sukar untuk saya terima. Kami sekeluarga kali terakhir bertemu Indiran ketika dia menghadiri program latihan di Taiping, Perak awal bulan ini,” katanya.
Menurut Usha, hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan luaran pada tubuh anaknya dan punca kematian masih belum dapat dipastikan.
“Masih perlu menunggu ujian makmal dikatakan dalam tempoh tiga bulan. Saya harap pihak berkuasa dapat jalankan siasatan lengkap supaya keluarga mendapat jawapan yang jelas,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) berikutan tiada unsur jenayah atau kecederaan fizikal ditemui.
Sementara itu, bapa tiri mangsa, L. Mathivanan, 35, berkata, kali terakhir mereka berhubung dengan Indiran adalah menerusi panggilan video pada 17 Februari lalu dan ketika itu Indiran kelihatan ceria seperti biasa.
“Keesokan harinya, kira-kira 4 petang, kami menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan keadaannya. Kami tiba di Kuantan kira-kira 1 pagi (19 Februari 2026) dan sempat menziarahinya di unit rawatan rapi sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pukul 4.03 petang,” katanya.
Difahamkan, pada tahun 2024, Indiran telah menamatkan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.
Mendiang sebelum ini berhasrat menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia namun tidak memenuhi syarat kelayakan sebelum memilih menyertai tentera darat dengan harapan dapat melanjutkan pengajian dan berkhidmat dalam Unit Penerbangan Tentera Darat pada masa depan.
Untuk rekod, Mejar Kayamboo terkorban pada hari ulang tahunnya yang ke-44 dalam nahas pada 21 Disember 2016 yang turut mengakibatkan tiga lagi individu cedera parah.
Jenazah Indiran akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sungai Nibong, Pulau Pinang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang, Air Itam, lokasi sama bapanya disemadikan. – MalaysiaGazette
















