KUALA LUMPUR – Tragedi kematian lima anggota keluarga di Kuantan baru-baru ini menjadi peringatan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi mencegah insiden seumpama ini daripada berulang, terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki yang menzahirkan rasa dukacita yang mendalam dengan kejadian tragis ini berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam terhadap keprihatinan bersama masyarakat.
Apatah lagi, katanya, sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan sepatutnya menjadi waktu kegembiraan, muhasabah dan kebersamaan bagi keluarga dan kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk memperkukuh dan memperluas program jangkauan berasaskan komuniti, khususnya yang menawarkan saringan awal kesihatan mental, sokongan psikososial dan perkhidmatan kaunseling.
“Perhatian khusus perlu diberikan kepada ibu bapa dan penjaga, termasuk bapa atau pencari nafkah tunggal, yang berkemungkinan sedang berdepan tekanan kewangan dan emosi yang berat,” katanya.
Pada masa yang sama, Farah Nini menggesa ahli keluarga, keluarga besar, jiran tetangga dan komuniti agar sentiasa peka, berbelas ihsan dan responsif terhadap mereka yang mungkin sedang menghadapi tekanan atau kesukaran.
“Persekitaran yang menyokong dan prihatin boleh memainkan peranan penting dalam mencegah krisis serta melindungi kesejahteraan kanak-kanak.
“Perlindungan kanak-kanak mesti terus menjadi tanggungjawab bersama yang menuntut kewaspadaan, empati dan sokongan yang tepat pada masanya,” tambah beliau lagi. – MalaysiaGazette
















