KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warganegara tempatan ditahan kerana memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuh Raya KL–Seremban (PLUS).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, semua ditahan menerusi operasi penguatkuasaan motosikal oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman yang dijalankan dua hari sejak semalam.
“Dalam operasi tersebut, pasukan telah mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan pelbagai aksi berbahaya termasuk aksi “Superman” (meniarap di atas motosikal), zig-zag serta berlumba sesama sendiri di laluan utama lebuh raya.
“Perbuatan ini bukan sahaja membahayakan diri penunggang, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, dua saman turut dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu serta nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mematuhi peraturan.
Muhammed Hasbullah menegaskan, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti tunggangan motosikal berbahaya atau perlumbaan haram diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam usaha memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















