KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memfailkan saman fitnah terhadap agensi berita Bloomberg berhubung penerbitan artikel baru-baru ini.
Writ saman dan penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur semalam, menuntut beberapa perintah mahkamah dan ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Azam sebagai plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Zain Megat & Murad dan menamakan Bloomberg LP dan Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd sebagai defendan.
Dalam tindakan sivil berkenaan, Azam memohon perintah injunksi menghalang media berkenaan daripada menerbitkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.
Azam juga menuntut Bloomberg memadam artikel tersebut dalam tempoh tiga hari selepas penghakiman, selain permohonan maaf.
Beliau turut menuntut ganti rugi teruk, teladan dan faedah lima peritus setahun atas jumlah kehakiman dan lain-lain relif yang diputuskan oleh mahkamah.
Menurut Tetuan Zain Megat & Murad, anak guamnya menyatakan semua dakwaan terhadapnya adalah tidak berasas dan tindakan perundangan itu bertujuan mempertahan reputasi Azam.
Sebelum ini, media melaporkan Azam menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan laporan yan disiarkan Bloomberg.
Azam mendakwa artikel tersebut telah menjejaskan reputasinya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Bloomberg dalam laporannya mendedahkan Azam memiliki memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Namun, Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat tersebut dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya.
Malah, beliau memberitahu, saham berkenaan dibeli tahun lalu dan dilupuskan dalam tempoh tahun yang sama. – MalaysiaGazette
















