JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri perlu merangka dan melaksanakan satu pelan yang lebih komprehensif bagi memastikan bekalan air sentiasa stabil setiap masa.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Tebrau, Jalex Lee En Xiang berkata, langkah itu perlu kerana gangguan bekalan air sudah beberapa kali berlaku.
“Walaupun semua ada sebabnya, tetapi adakah sumber air di Johor dah tidak ada back up atau surplus jika hadapi situasi kecemasan? Ini amat membimbangkan.
“Saya pun rasa pelik, bukan sahaja Simpang Renggam dan Benut pada tahun 2026 je, tetapi tahun 2025 di tempat lain pun pernah hadapi gangguan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, contohnya krisis air berlaku pada Mei 2025 di Johor Bahru dan Iskandar Puteri kerana kebocoran paip utama sehingga 155,074 akaun terjejas.
Kemudian katanya, gangguan bekalan air berlaku lagi pada Julai 2025 melibatkan Johor Bahru dan Tebrau kerana kerja-kerja penyelenggaraan yang memberi kesan terhadap 30,000 akaun.
Tidal lama selepas itu katanya, berlaku lagi gangguan bekalan air pada Oktober 2025 di Senai, Skudai, Felda Linggiu, Petrijaya dan Lima Kedai akibat pencemaran Sungai Johor melibatkan 292,158 akaun terjejas.
“Pada Februari 2026 pula melibatkan Simpang Renggam dan Benut akibat kemarau yang menjelaskan 31,081 akaun,” ujar Exco AMK Pusat itu.
Menurut beliau, gangguan bekalan air seperti yang berlaku beberapa kali pada tahun lalu tidak seharusnya berulang.
“Berlaku tiga gangguan bekalan air dalam dan dua daripadanya melibatkan lebih daripada 100,000 akaun pengguna,” ujarnya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan dakwaan Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data adalah tidak benar dan bersifat politik semata-mata.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, gangguan bekalan air berpunca daripada kemarau berpanjangan dan penyusutan paras sumber air mentah, bukan pembangunan pusat data seperti yang didakwa.
Pada 12 Februari lalu, Pemuda PH mempersoalkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam, Machap, Benut dan sebahagian Pontian Utara yang didakwa berpunca daripada projek pusat data.
Pemuda PH Johor juga menggesa penjelasan terbuka dan telus daripada kerajaan negeri berhubung isu tersebut.- MalaysiaGazette















