KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja menafikan kandungan tangkap layar perbualan kumpulan sembang WhatsApp yang antaranya mendakwa beliau mengutuk sebuah parti komponen Perikatan Nasional (PN) dipercayai Pas sebagai biadab.
Dalam mesej tersebar di media sosial itu, Naib Presiden Bersatu terbabit didakwa mencadangkan partinya keluar daripada PN selain menyebut Pas boleh bersama UMDAP.
Faizal didakwa mengeluarkan kenyataaan itu susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dipercayai selepas didesak segelintir pemimpin Pas baru-baru ini.
Tangkap layar perbualan dipercayai dari kumpulan sembang WhatsApp pimpinan Bersatu yang disebarkan di media sosial.
“Saya nafi sekeras-kerasnya kandungan mesej yang tular.
“Saya dakwa perbuatan itu dilakukan oleh bekas ahli Bersatu yang cuba memporak perandakan lagi Bersatu dan mahu hubungan Bersatu-Pas renggang dengan tujuan untuk melumpuhkan PN,” katanya dipetik dari artikel FMT.
Beliau turut mempersoalkan motif kumpulan terbabit menyerang Bersatu dengan halaman Facebook baharu berkenaan selain bekerja dengan musuh untuk melemahkan PN.
“Jadi saya nafi itu perbualan kami malah gambar profil saya juga berbeza,” katanya sambil mendakwanya palsu.
Dalam tangkap layar itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz didakwa telah menulis: “Rasanya lebih baik jika Pas yang keluar (dari PN) DS Peja. Mereka pun nak ke MN (Muafakat Nasional (MN) dah.”
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Jasri Jamaludin pula didakwa bersetuju dengan kenyataan Faizal dan meminta Muhyiddin mempertimbangkan semula keputusan meletak jawatan Pengerusi PN. – MalaysiaGazette
















