Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

LANGKAWI – Seorang lelaki warga China yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu di sini, semalam ditemui hari ini dalam keadaan tertiarap di permukaan air berhampiran Pulau Cabang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mayat mangsa, Mingfei Lan, 48, ditemui jam 9.45 pagi tadi oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Semalam kita terima maklumat berhubung kehilangan mangsa pada jam 7.34 malam, melalui panggilan MERS 999 yang memaklumkan terdapat pelancong lelaki hilang di laut di kawasan Pantai Tanjung Rhu Resort.

“Susulan itu, pada jam 7.40 malam, Pasukan Taskforce Balai Polis Ayer Hangat digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa telah berenang seorang diri ke arah Pulau Cabang kira-kira jam 5.30 petang dan anaknya menyedari lelaki itu tidak timbul hampir 30 minit sebelum memaklumkan kepada pihak hotel untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, susulan itu pihak bomba tiba di lokasi sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot di sekitar kawasan pantai.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), APM dan Polis Marin turut dimaklumkan serta digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast