Suasana banjir di Sandakan, Sabah. foto APM Sandakan.

KUALA LUMPUR – Semua agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri telah digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan bagi mangsa banjir di Sabah dapat dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan kerajaan adalah keselamatan rakyat, kebajikan mangsa serta pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin.

Beliau turut mengingatkan semua yang berada di kawasan banjir agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,768 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 3,685 orang pada 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, daerah Pitas mencatatkan peningkatan jumlah mangsa kepada 1,653 orang daripada 621 keluarga berbanding 1,515 orang daripada 593 keluarga pada sebelah pagi.

Jumlah mangsa di Kota Marudu menunjukkan penurunan kepada 1,923 orang daripada 778 keluarga berbanding 1,978 orang daripada 925 keluarga sebelum ini.

Situasi banjir di Paitan pula tidak berubah dengan 192 orang daripada 75 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tambahnya, kesemua mangsa daripada 1,474 keluarga ditempatkan di 18 PPS yang beroperasi, menyaksikan penurunan berbanding 1,593 keluarga pada pagi ini.

Secara keseluruhan, bencana banjir di ketiga-tiga daerah telah menjejaskan 47 kampung namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kematian dilaporkan setakat ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan buruk dan berwaspada di beberapa lokasi di Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast