GEORGE TOWN – Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menziarahi keluarga mendiang Truper K. Indiran di kediaman mereka di Taman Sri Nibong di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda kira-kira jam 12.55 tengah hari disambut ibu mendiang, S. Usha, 52, dalam suasana penuh hiba apabila keluarga berkenaan masih bersedih atas pemergian anak sulung daripada empat beradik itu.
Menurut Usha, kehadiran Tengku Ahmad Ismail memberi kekuatan buat keluarganya yang sedang melalui detik sukar selepas kehilangan insan tersayang.
“Tengku pesan ambil masa tenangkan diri, kuatkan semangat jangan duduk seorang…saya rasa ada kekuatan dan tidak berasa bersendirian.
“Bagi saya apabila Tengku datang ziarah anak saya yang sudah tiada, memang sungguh besar maknanya bagi keluarga kami, terima kasih banyak-banyak sudi datang ke rumah kami,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mendiang Indiran dijadualkan menerima Istiadat Pengebumian Tentera sebagai penghormatan terakhir, dengan kerandanya yang dilitupi Jalur Gemilang akan diusung sembilan anggota termasuk diiringi 12 pegawai serta 50 anggota tentera ke Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang, petang ini.
Pegawai Memerintah Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Leftenan Kolonel Nazrol Abdullah dijadual menyerahkan Jalur Gemilang yang menutupi keranda mendiang kepada waris sejurus selesai pengebumian, yang akan berlangsung bersebelahan pusara bapanya.
Media semalam melaporkan mendiang Indiran yang mengikuti kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan fizikal atau kerosakan organ dalaman pada anggota berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan ia berpunca daripada perbuatan buli.
Indiran adalah anak kepada Mejar C. Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T pada 2016 selepas berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth. – MalaysiaGazette
















