PERKONGSIAN laman sosial Facebook PHM berkenaan penyakit tibi.

 

KUALA LUMPUR – Laman perkongsian kesihatan Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan peningkatan kes tibi seperti yang dilaporkan ketika ini.

Menerusi hantaran di Facebook, PHM berkata, penyakit tibi tidak merebak seperti penyakit selesema biasa.

Sebaliknya, jelasnya, ia merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti tibi paru-paru batuk, bersin atau bercakap dengan kuat dan kuman halus berkumpul dalam ruang tertutup.

“Risiko paling tinggi bila anda duduk dekat lama, berulang kali, dalam bilik yang pengudaraan tak elok.

“Bukan sebab bersalaman, bukan sebab makan makanan bazar, bukan sebab lalu tepi orang sekejap,” katanya.

Disebabkan itu, tambahnya, peningkatan kes tibi tidak memerlukan semua aktiviti dibatalkan dan orang ramai dilarang keluar dari rumah.

Apa yang penting, jelasnya, adalah setiap orang mengambil langkah yang betul iaitu dengan memastikan ruang kerja mempunyai pengudaraan yang baik; membuka tingkap sekiranya boleh; mengelak berhimpit lama di dalam bilik kecil dan mengamalkan etika batuk.

“Kalau ada batuk lebih dua minggu, demam petang, susut berat, berpeluh malam, cepat penat, jangan tunggu.

“Pergi klinik untuk pemeriksaan dan X-ray. Tibi boleh dirawat, dan bila rawatan bermula dengan betul, risiko menjangkiti akan turun banyak.

“Kita jaga diri dengan ilmu, bukan dengan panik,” katanya.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 3,161 kes tibi secara keseluruhannya dilaporkan di seluruh negara dengan Sabah mencatat kes paling banyak iaitu 755 diikuti Selangor, 596 dan Sarawak 332.

KKM turut menegaskan, bulan Ramadan bukan punca berlakunya penularan penyakit berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast