HONG KONG – Pihak berkuasa Hong Kong membuat tawaran untuk membeli balik kediaman bangunan perumahan Wang Fuk Court yang hangus terbakar tahun lalu.
Menurutnya, bangunan yang dibeli itu bakal dirobohkan.
Kebakaran yang berlaku pada bulan November itu telah mengorbankan 168 nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Penduduk yang dipindahkan telah menggesa kerajaan menyediakan pilihan penempatan semula, dengan sebahagiannya berharap kawasan perumahan itu dibangunkan semula.
Timbalan Setiausaha Kewangan, Michael Wong berkata, Pihak Berkuasa Hong Kong akan membelanjakan sehingga HK$6.8 bilion (AS$870 juta) untuk memperoleh hak milik hartanah daripada pemilik unit, sama ada secara tunai atau pertukaran unit kediaman.
“Skala bencana ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan pada masa ini tiada mekanisme pasaran yang berkesan untuk membantu isi rumah yang terjejas,” katanya dalam sidang media.
Lebih 1,700 pemilik akan menerima tawaran antara AS$441,000 hingga AS$650,000, bergantung pada saiz unit dan sama ada mereka telah membayar premium tanah.
Menurut Wong, kebakaran itu merupakan “kes khas yang luar biasa” yang memerlukan campur tangan kerajaan bagi mengelakkan unit kediaman terbabit menjadi tidak bernilai.
Tujuh daripada lapan menara di kawasan perumahan itu mengalami kerosakan dalaman yang “tidak boleh dipulihkan”.
Beliau berkata, adalah “tidak sesuai” untuk membina semula kompleks tersebut kerana proses itu akan mengambil sekurang-kurangnya sembilan tahun, dan mencadangkan agar tapak berkenaan dijadikan taman atau kemudahan komuniti.
Hanya sembilan peratus pemilik unit yang disoal selidik menegaskan pembangunan semula di tapak sama sebagai satu-satunya pilihan, katanya.
“Dalam merangka pakej kerajaan, adalah mustahil untuk memenuhi kehendak semua pihak,” tambahnya.
Pembelian balik itu akan menggunakan kira-kira AS$510 juta dana pembayar cukai, manakala selebihnya dibiayai daripada dana bantuan.
Pemilik yang menerima tawaran pembelian balik akan diberi keutamaan memilih daripada 3,900 unit perumahan bersubsidi, dengan proses pemilihan dijadual bermula pada September.
Pelan tersebut tidak meliputi Wang Chi House, satu-satunya blok perumahan yang tidak terjejas oleh kebakaran, kecuali jika pemilik unit di situ mencapai kata sepakat untuk turut serta, menurut pihak berkuasa. – Agensi
















