KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mempersoalkan pendirian Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dalam polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.
Dakwa Ahli Parlimen Machang itu, Radzi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu hadir dalam pertemuan yang membuka satu persatu apa sebenarnya masalah yang berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN).
Ia termasuk mengapa Pas menolak individu-individu tertentu dalam Bersatu yang dinamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan strategik PN tanpa rundingan.
Tambah beliau, walaupun mendengar dengan telinga sendiri, namun Radzi memilih untuk memekakkan telinga apabila tiba masa membuat keputusan.
Dakwanya, sejak awal pemilihan Bersatu juga, Radzi memilih untuk bermain di semua kolam, kononnya strategi bijak untuk melawan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari dalam.
“Namun dalam politik, siapa yang cuba memegang dua tali biasanya yang pertama tergelincir apabila tali ditarik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan sama ada Radzi lupa kemenangan sebagai Naib Presiden 1 bukan jatuh dari langit, tetapi hasil dukungan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada Radzi lupa pasukan Muhyiddin sendiri pernah mahu menguburkan beliau sebagai naib presiden.
“Dalam kalangan ahli Parlimen, Radzi memiliki akses paling luas kepada semua pimpinan — baik Pagoh mahupun Larut.
“Tetapi apabila tiba masa membezakan antara yang hak dan yang batil, beliau tersalah congak,” katanya.
Dakwanya, Radzi juga mendengar sendiri daripada kepimpinan tertinggi Pas dan Hamzah tentang bukti kewujudan “Kuda Trojan” dalam Bersatu dan PN.
Namun, ujarnya, Radzi tetap memilih kelompok yang membawa mudarat kepada perjuangan Melayu-Islam dan PN.
“Ini bukan lagi soal tersalah langkah, tetapi seperti kata orang tua: sudah diberi lampu, masih memilih berjalan dalam gelap,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada Radzi tidak dapat menilai mengapa sehingga 19 ahli Parlimen sanggup berpatah arang, berkerat rotan menyokong “Reset” yang digerakkan Hamzah.
“Kalau itu pun tidak mampu dibaca sebagai isyarat politik, maka persoalannya bukan lagi maklumat yang kurang, tetapi keberanian membuat keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayshal turut menarik perhatian berkenaan perjumpaan Radzi dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi baru-baru ini yang didakwa ada kaitan dengan tujuan menukar Ketua Pembangkang yang kini disandang Hamzah.
Sedangkan, ujarnya, Hamzah dilantik ke jawatan itu melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Hakikatnya, hanya segelintir bersama Pagoh. Selebihnya istiqamah bersama Larut dan Pas untuk memastikan agenda asal PN tidak tersasar.
“Tetapi politik gaya Radzi ini berbahaya — seperti api dalam sekam. Nampak tenang di luar, tetapi membakar dari dalam,” katanya. – MalaysiaGazette
















