KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat menjelaskan beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadapnya.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, beliau tidak pernah sesekali mengelak daripada proses undang-undang yang sedang berjalan dengan segala dokumen yang diperlukan telah diserahkan dan keterangan telah diberikan.
Bagaimanapun, jelasnya, siasatan itu bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah bermula sejak beberapa tahun lalu.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa bersikap terbuka dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Saya berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan seorang Exco Terengganu bagi membantu siasatan menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya sebagai anggota kerajaan negeri serta Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat bagi mengarahkan kedua-dua anaknya dilantik bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri.
ADUN itu ditahan semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman kerana didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 2018 dan 2020.
Sementara itu, Hanafiah berkata, beliau memahami bahawa dalam suasana politik semasa, pelbagai persepsi dan spekulasi boleh timbul.
Bagaimanapun, ujarnya, beliau memilih untuk tidak mengulas perkara yang bersifat spekulatif dan menyerahkannya sepenuhnya kepada proses undang-undang.
Malah, tambahnya, beliau juga percaya rakyat mampu menilai secara adil berdasarkan fakta, tanpa dipengaruhi oleh persepsi yang tidak berasas.
“Fokus saya kekal kepada amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat.
“Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab tersebut dan akan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti,” katanya.
Difahamkan, Hanafiah akan didakwa di mahkamah susulan siasatan SPRM itu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada pukul 9 pagi esok. – MalaysiaGazette
















