Ashwad Ismail

KUALA LUMPUR — Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail hari ini mengumumkan keputusan untuk berundur daripada jawatannya selepas lima tahun menerajui organisasi berita berkenaan.

Ashwad berkata, pada usia 36 tahun, beliau diamanahkan oleh Astro Malaysia Holdings Berhad untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua pengarang, satu kepercayaan besar yang disifatkannya sebagai cerminan komitmen syarikat dalam memperkasa bakat kepimpinan muda tempatan.

“Hari ini, saya membuat keputusan untuk berundur. Mengundur diri ketika jenama berita paling dipercayai di Malaysia ini berada dalam keadaan kukuh, mampan dan penuh keyakinan terhadap apa yang telah kita bina bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, Astro Awani bukan sekadar sebuah bilik berita sebaliknya sebuah misi yang membuktikan kewartawanan mampu berinovasi tanpa mengorbankan prinsip selain kekal berdaya maju secara komersial meskipun berdepan cabaran industri yang getir.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, Ashwad menyaksikan transformasi landskap media yang menuntut kecekapan digital, ketangkasan editorial serta pendekatan baharu dalam penyampaian berita kepada khalayak.

Keputusan untuk berundur dibuat ketika organisasi berada dalam keadaan stabil dan diyakini mampu terus melangkah lebih jauh berbekalkan asas yang telah dibina bersama pasukan editorial dan pengurusan.

“Mengambil ibrah dan keberkatan Ramadan yang mulia ini, saya berundur dengan penuh rasa syukur kepada Allah SWT,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja serta penonton, sambil menyatakan terima kasih kepada semua.

“Saya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, kesilapan dan kekhilafan sepanjang khidmat saya di Astro AWANI. Maaf Zahir dan Batin. Selamat Maju Jaya, Astro AWANI!,”

Ashwad pernah dilantik sebagai Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) bagi tempoh 2023-2025.

Beliau menggantikan Datuk Mokhtar Hussain pada Pemilihan Ahli Jawatankuasa pada Mesyuarat Agung Iswami 2023-2025.

Ashwad dijangka menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai hari ini.

Pengumuman rasmi pelantikan Ashwad oleh Kementerian Komunikasi dijangka dibuat hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast