Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad (kiri) dan Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan TH, Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab (kanan) bersama anggota Lembaga Tabung Haji melayari laman sesawang baharu TH.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan komitmen baharu untuk membantu, membimbing dan menyemarakkan lebih ramai rakyat Malaysia merealisasi impian menunaikan ibadah haji melalui program persiapan haji, #menujuistitoah.

Program pendidikan dan penglibatan digital seluruh negara itu bertujuan memastikan para pendeposit lebih bersedia ketika dijemput untuk menunaikan haji apabila tiba masanya.

Inisiatif #menujuistitoah itu memberi penekanan kepada pengukuhan kesiapsiagaan haji secara menyeluruh yang merangkumi persediaan kewangan, rohani, fizikal dan mental.

Ia selaras dengan pendekatan baharu TH yang mengutamakan disiplin perancangan kewangan serta persediaan awal yang lebih berstruktur.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, langkah itu mencerminkan komitmen TH dalam membantu, membimbing dan menyokong impian haji rakyat Malaysia menjadi kenyataan.

“Misi utama TH adalah untuk membantu para pendeposit merealisasi impian haji mereka. Ibadah yang merupakan rukun Islam yang kelima ini menjadi impian sekali seumur hidup yang memerlukan niat yang tulus dan persediaan yang rapi.

“Kami percaya kami dapat melakukan sebaik mungkin untuk membantu dan berhasrat menjadikan matlamat ini lebih mudah, lebih ringkas dan lebih lancar melalui pendidikan, teknologi digital serta perkhidmatan yang diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad memaklumkan pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan bagi menyokong agenda itu.

“Kami telah menambah baik dan memperbaharui laman sesawang serta platform digital TH supaya lebih mudah diakses dan mesra pengguna.

“Pengenalan Kalkulator Simpanan Haji membantu orang ramai merancang simpanan secara realistik dan berstruktur,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast