Foto: FB Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerugian kira-kira RM2,000 serta kehilangan kad pengenalan dan dokumen penting lain selepas kenderaannya dipecahkan dalam kejadian di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini semalam.

Menurut Teresa, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.15 petang ketika beliau berjoging, sejurus selepas hujan lebat.

Katanya, ketika kembali ke keretanya, beliau mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan dan beg tangannya yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut juga telah hilang.

“Dengan hati yang kecewa, saya terus membuat laporan di Balai Polis TTDI. Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional.

“Selepas laporan awal dibuat, Pegawai Penyiasat (IO), Encik Guna, datang untuk mengambil kenyataan saya. Unit forensik juga tiba tidak lama kemudian untuk mengambil gambar serta kesan cap jari pada kenderaan saya.

“Saya hanya meninggalkan balai polis kira-kira jam 9.30 malam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Teresa berterima kasih atas kerjasama dan bantuan yang diberikan terhadap aduan kejadian jenayah yang dibuat beliau.

Katanya, memandangkan kes pecah kereta dan kecurian barang berharga kerap berlaku di kawasan itu, beliau amat berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara demi memudahkan siasatan polis terhadap jenayah yang berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast