Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional (JKKN) Bilangan 1 tahun 2026 di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan penurunan ketara kes denggi sebanyak 54.7 peratus iaitu 55,399 kes tahun lalu berbanding 122,423 kes bagi tempoh sama pada 2024.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional (JKKN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kematian akibat komplikasi denggi juga menurun 59.8 peratus dengan 47 kematian berbanding 117 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, walaupun pencapaian itu memberangsangkan, semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat perlu terus memperkukuh usaha menjaga kebersihan persekitaran bagi mencegah peningkatan semula kes pada tahun ini.

Dalam pada itu, tambah beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan inisiatif Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) di lokaliti terpilih melalui tiga strategi utama iaitu pengurusan persekitaran, pemerkasaan penglibatan komuniti dan intervensi entomologi.

“KKM juga akan menegaskan kepentingan pematuhan Nota Semakan Tatacara Reka Bentuk dan Struktur Bangunan oleh Jabatan Kerja Raya dalam semua projek pembangunan bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional (JKKN) Bilangan 1 tahun 2026 di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, mesyuarat itu menandakan permulaan fasa baharu dalam tadbir urus kesihatan negara, di mana berlakunya integrasi di antara tiga jawatankuasa utama terdahulu berkaitan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Denggi, dan Malpemakanan Kanak-Kanak kini disatukan di bawah satu tadbir urus strategik.

Tambahnya, langkah integrasi itu mencerminkan iltizam Kerajaan Madani untuk menyantuni keperluan kesihatan rakyat secara holistik, dengan menggembleng kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah pendekatan Whole of Nation.

Sementara itu, beliau menambah, kerajaan komited menangani beban malpemakanan, namun usaha itu memerlukan sinergi jitu daripada ibu bapa sebagai pemegang taruh terbesar.

Sehubungan itu, ujarnya, para ibu bapa dijemput untuk tampil sebagai sukarelawan yang proaktif menggalas tanggungjawab bersama memastikan kualiti dan standard pemakanan di taska sentiasa terjamin demi masa depan anak-anak.

“Sesungguhnya, kesihatan adalah pelaburan terpenting negara. Saya menyeru seluruh jentera kerajaan, swasta, dan rakyat untuk bersama-sama menjayakan agenda ini demi membina Malaysia yang sihat, sejahtera dan produktif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast