KENYATAAN akhbar DUPP berkenaan lantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) berharap lantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu dapat memandu PN ke arah agenda penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan bersama.

Ketua Penerangan DUPP, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, agenda itu bukan sekadar slogan politik, tetapi merupakan tuntutan syarak dan keperluan mendesak dalam landskap politik semasa.

Menurutnya, ia mesti diteruskan secara kolektif dengan dukungan padu parti-parti komponen di bawah payung PN.

“Kita juga berharap kepimpinan baharu ini akan terus memperkasa kerjasama strategik antara parti-parti gabungan serta membuka ruang yang lebih luas untuk membina hubungan baik, mendengar keluhan, pandangan dan harapan daripada NGO-NGO Melayu Islam.

“Suara ummah perlu diraikan dalam membina dasar dan hala tuju yang lebih tersusun demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Nor menyeru seluruh ahli, penyokong serta jentera PN agar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh organisasi, memperkemas gerak kerja dan mempersiapkan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Jelasnya, kesiapsiagaan, kesatuan saf dan kejelasan mesej perjuangan adalah kunci utama dalam memastikan mandat rakyat dapat diraih dengan lebih meyakinkan.

“Semoga kepimpinan baharu ini dipermudahkan oleh Allah SWT dalam memikul amanah besar demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast