Antara rampasan.

GEORGE TOWN – Polis menumpaskan kegiatan memproses dan menyimpan dadah selepas penahanan tiga lelaki serta rampasan 18.3 kilogram (kg) dadah dianggarkan hampir RM1 juta dalam serbuan di negeri ini, pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi bermula dengan tangkapan seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah rumah di daerah Seberang Perai Utara sebelum membawa kepada penemuan dadah yang disimpan di dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata, polis merampas 910 gram (g) ketulan dan serbuk disyaki heroin di dalam beg kanvas bersama lebih 4 kg heroin yang ditemui di dalam beg galas serta 10.3 kg syabu di dalam sebuah beg berzip.

“Selepas itu, serbuan diteruskan dengan memberkas seorang lelaki di tepi jalan di daerah Barat Daya sebelum membawa kepada penemuan dadah dan peralatan memproses di sebuah rumah.

“Antara yang dirampas adalah, 3 kg serbuk dan ketulan heroin di dalam lapan bungkusan plastik, 18.5 kg serbuk kafein, 2 kg serbuk penaik dan cecair kimia.

Peralatan yang digunakan suspek antara disita.

“Hasil penahanan dua suspek itu membawa kepada penahanan seorang lagi ahli sindiket di daerah Barat Daya. Siasatan lanjut mendapati kegiatan memproses dan menyimpan dadah berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak Disember lalu dengan keseluruhan rampasan dadah bernilai RM925,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek berusia antara 37 hingga 58 tahun itu negatif dadah, manakala seorang mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis turut menyita kereta jenis Honda Accord, Honda City dan Perodua Myvi selain motosikal jenis Yamaha, pelbagai barang kemas bernilai RM74,862 serta wang tunai RM8,138.

“Semua suspek direman selama seminggu bermula kelmarin sehingga 27 Februari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast