Rahim Thamby Chik

MELAKA – Lima daripada enam Jawatankuasa Bahagian Bersatu Melaka dibubarkan berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah strategik untuk menyertai jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, lima bahagian terlibat ialah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin kecuali Kota Melaka.

Menurutnya, pembubaran itu meliputi semua jawatankuasa bahagian, sayap Armada, Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu Bahagian serta seluruh cawangan dan sayap cawangan di bawah pentadbiran masing-masing.

Beliau turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua BPN Bersatu Melaka dan Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah.

“Keputusan dibuat secara sebulat suara, sukarela dan tanpa sebarang paksaan, selepas mengambil kira perkembangan semasa parti di peringkat pusat dan suara akar umbi.

“Keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti semakin terhakis dan tidak lagi dapat dipulihkan,” katanya pada sidang media di Peringgit Point di sini lewat petang tadi.

Rahim menegaskan, kehilangan kepercayaan itu berpunca daripada kegagalan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan barisan kepimpinan pusat menangani krisis dalaman secara tuntas.

“Ini termasuklah kegagalan mengembalikan kestabilan organisasi, menyusun strategi politik jelas dan memelihara semangat perjuangan asal berteraskan integriti, akauntabiliti dan keberanian reformasi,” katanya.

Menurut beliau, pembubaran itu bukan penamat perjuangan, sebaliknya langkah ‘reset’ politik bagi membuka ruang kepada wadah baharu yang lebih stabil dan berpengalaman untuk menghadapi PRN.

“Kita dalam proses menubuhkan jawatankuasa penaja di semua bahagian, termasuk sayap dan bersekutu.

“Apabila kita memasuki kapal baharu ini, kita teruskan kesinambungan daripada apa yang telah kita lakukan iaitu menyantuni rakyat.

“Komitmen dan janji kita untuk mengubah nasib rakyat melalui wawasan baharu yang lebih baik, agresif dan bersungguh-sungguh selari dengan slogan kita berjuang kerana Allah,” katanya.

Ditanya, adakah ia parti baharu yang akan ditubuhkan, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, beliau tidak boleh menyebutnya kerana bukan presiden parti berkenaan.

“(Bila) kita masuk dalam parti ini yang telah pun wujud dan sejak puluhan tahun lalu kita akan bergerak seperti biasa

“Insya-Allah kita dapat sahaja bahtera baharu ini, nasib rakyat Melaka dan masa depan mereka akan lebih cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast