Muhammad Irsyaad (tengah) menerima sumbangan pada program berkenaan.

MELAKA – “Mak peluk saya, pegang pipi  sambil menangis dan cakap, ‘Irsyaad, imamkan solat jenazah abah ya.’

Demikian detik pilu dilalui seorang remaja berusia 16 tahun, menggalas tanggungjawab yang tidak pernah terlintas di fikirannya, mengimamkan sendiri solat jenazah bapanya.

Muhammad Irsyaad Mohd Shahrol Anuar, 16, menunaikan khidmat terakhir sebagai anak apabila mengimamkan sendiri solat jenazah bapanya, Allahyarham Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, yang maut dalam kemalangan pada 10 Februari lalu.

Mohd Ali menyerahkan bungkusan bubur lambuk sebagai simbolik perasmian
Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan
anjuran LEAD bersama WYF serta PENDIKA di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, Melaka hari ini.

Menurut pelajar Madrasah Helyatil Auliya’ Ad Diniah Al Arabiah itu, permintaan ibunya menjadi kekuatan untuk dia berdiri di saf hadapan memimpin doa buat insan yang selama ini menjadi imam dalam keluarga mereka.

“Saya minta izin atuk dan pak cik untuk imamkan sendiri jenazah abah dan alhamdulillah, Allah beri peluang itu kepada saya.

“Itulah bakti terakhir saya kepada abah,” katanya hiba ketika ditemui pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil di sini hari ini.

Mohd Ridhwan melakukan simbolik mengacau bubur lambuk.

Pada majlis itu, dia turut menerima sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD) bersama World Youth Foundation serta Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA).

Turut hadir, Pengerusi World Youth Foundation, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali Pengarah Kolej Komuniti Jasin (KKJS), Mohamad Kelana Juwit.

Perasmian program disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Muhammad Irsyaad Mohd Shahrol Anuar

Irsyaad yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya kira-kira sebulan sebelum kejadian ketika mahu kembali ke madrasah.

“Sepatutnya sebelum Ramadan saya balik untuk sambut puasa bersama, tapi tak sangka abah pergi lebih awal,” katanya sebak.

Mengimbau kenangan, beliau menyifatkan arwah sebagai seorang ayah yang lembut dan penyayang, namun tegas dalam soal agama.

“Abah tak garang sangat, kalau marah pun sekejap saja, lepas itu dia senyum balik.

“Tapi dalam hal ibadah, dia memang tegas dan dia sentiasa mahukan anak-anak jadi lebih baik darinya,” ujarnya.

Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru pada 10 Februari lalu, arwah yang menunggang motosikal Honda EX5 maut selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi.

Pemandu lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai mengalami ‘microsleep’ sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar lima kenderaan lain.

Terdahulu, program itu menyaksikan sebanyak 10 periuk bubur lambuk dimasak secara gotong-royong oleh hampir 100 sukarelawan termasuk pelajar dan kakitangan KKJS bermula jam 8 pagi.

Hidangan itu kemudian diagihkan kepada kira-kira 2,500 penerima termasuk penduduk setempat, petugas media serta pemandu dan penghantar perkhidmatan e-hailing dan p-hailing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast