KUALA LUMPUR – Seorang penolong pengurus sebuah kedai jam tangan mewah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 44 pertuduhan menerima dan memindahkan wang didakwa hasil daripada aktiviti haram melibatkan kerugian RM1.7 juta.
Miki Oshiro, 36, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengiku pertuduhan pertama hingga ke-44, lelaki itu didakwa menerima RM1.7 juta daripada seorang pelanggan wanita berusia 61 tahun dan kemudiannya memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM628,499 daripada akaun simpanan miliknya ke dalam beberapa akaun bank milik individu dan syarikat lain.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Damansara Utama, Petaling Jaya dekat sini antara 5 Oktober 2024 dan 3 Januari 2025.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Ia membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Mohd Marzuki mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri sebulan sekali ke Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, di sini sehingga kes selesai.
“Tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana pasportnya telah disimpan oleh mahkamah bagi kesalahan yang telah dituduh sebelum ini.
“Mohon mahkamah ambil kira faktor kesalahan yang dilakukan memberi kesan kepada ekonomi dan sistem perbankan negara,” katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya P. Sangari.
Peguam, S. Narasimhan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri selain masih menanggung ibu yang sudah tua.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM105,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke Bahagian Siasatan Jenayah AMLA, Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai.
Sebutan kes ditetapkan pada 27 Februari ini. – MalaysiaGazette















