Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.
Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Negeri Sembilan menggesa supaya pucuk pimpinan parti itu mengambil tindakan segera memindahkan Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang telah dipecat atau digantung ke blok Bebas di Dewan Rakyat.

Dalam satu memorandum kepada Presiden dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, barisan kepimpinan Bersatu Negeri Sembilan mendakwa, kelewatan berbuat demikian akan menimbulkan kekeliruan dalam kedudukan blok pembangkang dan menjejaskan kredibiliti pengurusan parti dalam institusi Parlimen.

Katanya, pemindahan ke blok Bebas itu perlu dilaksanakan segera untuk mencerminkan kedudukan politik sebenar dan mengelakkan kekeliruan blok pembangkang.

Selian itu, mereka turut mendakwa Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini.

Ujarnya, ia termasuk memindahkan Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang digantung dan dipecat iaitu Machang dan Indera Mahkota ke blok Bebas, selain gagal menggantikan jawatan mereka dalam portfolio pembangkang.

“Kegagalan ini menjejaskan disiplin blok dan mencemarkan imej Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) sebagai parti yang tegas terhadap disiplin dalaman,” katanya dalam memorandum yang dilihat MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, kepimpinan Bersatu Negeri Sembilan turut mendesak beberapa jawatan penting lain dalam blok pembangkang diganti segera untuk memastikan kelancaran dan kredibiliti parti itu.

Katanya, ia termasuk jawatan Ketua Whip Bersatu yang sebelum ini disandang Ahli Parlimen Beluran kerana terlibat dalam program Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik yang dikaitkan dengan Hamzah.

Tambahnya, turut perlu diganti ialah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang kini disandang Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurutnya, selepas pemindahan ke blok Bebas itu dilakukan, pucuk pimpinan Bersatu perlu mengadakan mesyuarat Ketua-Ketua parti pembangkang segera supaya Ketua Pembangkang; Ketua Whip; Pengerusi PAC dan pengerusi portfolio lain yang terlibat dengan isu disiplin diganti.

“Permohonan rasmi, pemindahan tempat duduk, penggantian jawatan dan tindakan disiplin lanjutan kritis untuk memulihkan disiplin, autoriti dan imej Bersatu serta PN sebagai parti pembangkang yang bertanggungjawab.

“Diharapkan MPT Bersatu dan Majlis Tertinggi PN segera melaksanakan tindakan-tindakan ini dan menjadikannya dasar rasmi PN untuk dilaksanakan di peringkat Dewan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast