PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan wujudnya ‘Mafia Korporat’ yang dikaitkan dengan suruhanjaya itu seperti dilaporkan dalam media antarabangsa baru-baru ini.
Dakwaan tersebut, katanya, dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian yang tidak mempunyai nama pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.
Lantaran itu, SPRM menolak sepenuhnya semua dakwaan yang dibangkitkan itu.
“SPRM memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian, apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah.
“SPRM berpandangan tuduhan ini merupakan satu cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan agensi ini dalam sektor korporat, khususnya terhadap pihak-pihak yang mungkin terjejas oleh tindakan undang-undang yang sedang dijalankan.
“Selain itu, SPRM juga melihat isu ini sebagai isu lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan semula bagi mencemarkan imej serta reputasi suruhanjaya ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas SPRM, semua siasatan yang dijalankan berasaskan bukti, selaras dengan undang-undang, serta tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.
“Penyebaran tuduhan tanpa asas yang berpunca daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan.
“Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah. Selain itu, perkara ini kini sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia,” jelasnya.
Sehubungan itu, SPRM memberi jaminan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan fakta dan kebenaran dapat ditentukan selaras dengan undang-undang.
Dalam pada itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti yang sahih berkaitan rasuah atau salah laku diminta membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Penyaluran maklumat melalui saluran yang sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil mengikut proses undang-undang, bukannya melalui perbicaraan media atau penerbitan tanpa bukti yang kukuh.
“SPRM kekal komited untuk melaksanakan mandatnya membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan untuk mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsi suruhanjaya,” katanya. – MalaysiaGazette
















