Pemandu warga Indonesia dikesan tiada dokumen dan ditahan pegawai JPJ di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang dalam Op Middleman.

PUTRAJAYA – Terpaksa upah pemandu lori warga Indonesia kerana pekerja mengalami masalah kurap. Itu alasan yang digunakan seorang ‘tauke’ selepas lori milikya ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang hari ini.

‘Tauke’ yang juga bertindak sebagai tonto itu ditahan di Puncak Alam dan dia kelihatan tidak berpuas hati selepas lorinya ditahan penguat kuasa JPJ.

“Itu pekerja saya ada kurap darah, dia tak boleh bawa lori masuk ke dalam kawasan pembinaan, jadi saya minta tolong dia (lelaki Aceh) bawa lori ini masuk dalam sebab baru ini cuti Tahun Baharu Cina.

“Saya minta hantar lori dari stor ke kawasan pembinaan cuma jarak satu kilometer sahaja tuan, sebab saya memang tidak cukup orang,” katanya dengan nada kuat ketika penahanan dilakukan di Puncak Alam.

Perbualan itu didengari wartawan dan jurukamera MalaysiaGazette yang menyertai operasi memburu tonto atau orang tengah merasuah penguat kuasa JPJ dalam ‘Op Middleman’.

Pegawai JPJ menahan pemilik lori yang juga tonto berdekatan Puncak Alam dalam Op Middleman hari ini.

Sebaik pihak media keluar dari kenderaan dan mendekati lelaki itu bersama pegawai JPJ, dia kelihatan terkejut dan nada percakapannya juga berubah menjadi rendah, selain cuba berbincang meminta JPJ tolak ansur.

Berdasarkan maklumat awal, pemandu lori dari Aceh berusia 30 tahun itu merupakan pekerja membawa mesin jengkaut di kawasan pembinaan dan dikesan tiada Lesen Vokasional (GDL) serta Lesen Memandu Kompeten (CDL).

Sebelum pegawai JPJ menyita kenderaan terbabit, lelaki itu mendakwa permit dan dokumen kenderaan terbabit bersama tontonya dan segera menghubungi individu berkenaan untuk hadir ke lokasi sebelum kenderaan itu dibawa ke Stesen Penguatkuasa JPJ Ijok, Kuala Selangor.

‘Tauke’ atau tonto yang mengekori pegawai JPJ selepas lorinya ditahan.

Namun ketika perjalanan ke sana dari Bandar Bukit Raja, lori dan kenderaan pasukan JPJ telah diekori sebuah pacuan empat roda dipercayai tonto berusia 56 tahun yang kemudian ditahan di kawasan Puncak Alam kerana cubaan merasuah penguat kuasa JPJ.

Sebaik tiba di Stesen Penguatkuasa JPJ, pemeriksaan lanjut mendapati cukai jalan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki lelaki itu telah tamat tempoh hampir tiga bulan menyebabkan kenderaan yang digunakan terpaksa disita.

Walaupun dia cuba meminta diberi kelonggaran namun rayuannya tidak diendahkan.

Pegawai JPJ mengeluarkan saman dan tindakan undang-undang terhadap pemilik kenderaan.Susulan perkembangan itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan memberikan komitmen penuh untuk terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, komitmen itu termasuk berkongsi maklumat risikan, memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersekongkol dengan sindiket.

“JPJ dan SPRM sudah mengadakan pertemuan semalam dan mengadakan perbincangan untuk memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, menyeluruh dan berintegriti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast