Seorang wanita maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Paya Pulai-Pogoh, Segamat, semalam.

SEGAMAT – Seorang wanita maut selepas hampir 20 jam bertarung nyawa di Hospital Segamat selepas terlibat kemalangan di Jalan Paya Pulai-Pogoh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 6.50 pagi yang melibatkan kereta jenis Perodua Axia dan Proton Saga.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Saga yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 40-an bersama-sama penumpang wanita tempatan berusia 18 tahun bergerak dari arah Pogoh menghala ke arah Paya Pulai.

“Proton Saga tersebut terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan Proton Axia yang bergerak dari arah Paya Pulai menghala ke Pogoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut pemandu Perodua Axia, 57, mengalami kecederaan dan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Segamat pada pukul 1.37 pagi tadi.

Sementara pemandu dan penumpang Proton Saga berkenaan katanya, mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

Pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Farizal Yang 07-9325811 untuk bantu siasatan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast