KUALA LUMPUR – Gerakan yang dilaksanakan hingga kerja-kerja meruntuhkan rumah anutan haram di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang awal pagi tadi, turut melibatkan orang bukan Islam.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kerja-kerja itu berjalan lancar tanpa berlakunya sebarang rusuhan.
Malah, kerja-kerja itu juga dilakukan dengan kehadiran pihak polis yang memantau keadaan.
“Tak sia-sia mesyuarat sampai jam 12 malam tadi. Para peguam mengatur strategi perundangan, aktivis pula merangka aktiviti, NGO Islam melaksanakan perancangan.
“Gabungan ini sangat berperanan dan saling melengkapi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Zainul Rijal, kerja-kerja meruntuhkan rumah anutan haram itu awal pagi tadi juga dilakukan dengan menghormati agama lain.
Buktinya, kata beliau, patung-patung sembahan agama lain yang berada di situ tidak dipecahkan, sebalikya dialihkan kedudukan sebelum pihak berkaitan membawanya ke tempat lain.
“Jadi ini bukan isu agama. Pihak yang membangkitkan isu agama dan perkauman itulah yang sebenarnya rasis.
“Rumah anutan yang mengikut undang-undang kita tak pertikai pun, malah Islam melindungi kebebasan beragama,” katanya.
Sementara itu, Zainul Rijal turut menjelaskan berhubung pertikaian mengapa kerja-kerja itu dilakukan pada awal pagi tadi, bukannya pukul 5 petang hari ini seperti jemputan yang tersebar di media sosial.
Menurutnya, ia bagi mengelakkan kehadiran terlalu ramai orang yang mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.
“Biarlah strategi dirancang oleh kumpulan yang kecil kerana kami juga mengambil kira beberapa kemungkinan termasuk isu perundangan,” katanya.
Bagaimanapun, difahamkan gotong-royong bagi membersihkan keseluruhan tapak yang diruntuhkan itu akan diadakan pukul 5 petang ini. – MalaysiaGazette
















