GOMBAK – Lapan laporan polis telah dibuat oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap Arun Dorasamy yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung isu kuil di Rawang.
Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, kesemua laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada Selasa lalu oleh wakil-wakil NGO terbabit.
Tindakan itu diambil susulan dakwaan kenyataan Arun termasuk beberapa individu berkaitan berunsur perkauman dan agama sehingga mencetuskan kegusaran awam.
“Pihak Yayasan Kubra dan NGO terlibat telah membuat laporan malam tadi (Selasa) terhadap individu yang cuba meniupkan isu perkauman dan agama di kawasan ini.
“Individu itu dikenali sebagai Arun Dorasamy dan kenyataannya didakwa menyebabkan isu ini berlarutan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Muhammad Hariz, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa membuat kenyataan palsu atau berunsur hasutan itu.
Katanya lagi, Yayasan Kubra selaku pemilik berdaftar tanah itu menegaskan, isu yang timbul adalah berkaitan pencerobohan tanah yang didakwa berlaku sejak 2018 dan tidak melibatkan unsur perkauman atau keagamaan.
“Pihak yayasan telah membuat pelbagai aduan kepada pihak berkuasa termasuk polis selain mengadakan rundingan dan memberi tempoh masa kepada pihak yang didakwa menceroboh tanah tersebut.
“Lebih tujuh tahun pihak yayasan sebagai tuan tanah berdepan pembinaan struktur yang didakwa haram di atas tanah milik sah mereka dengan seluas tiga ekar yang bakal dibangunkan rumah asnaf,” katanya – MalaysiaGazette

















Peliklah dah duduk tanah orang, bina pulak tempat ibadat, dapatkan lah keizinan tuan tanah. Bila kita kata haram, marah. Bodoh punya manusia.