M Mahesawaran,40, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian seorang pengganggur tanpa niat, 10 tahun lalu.

MELAKA – Seorang peniaga lembu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian seorang pengganggur tanpa niat, 10 tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, M Mahesawaran,40, dan mensabitkannya dengan kesalahan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian S Manikumar, 35, dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menjadi punca kematiannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan hutan kelapa sawit berhampiran Empangan Jus, Selandar, Jasin antara jam kira-kira 10.30 malam pada 22 Mei 2016 hingga kira-kira 9.50 pagi 23 Mei 2016.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (KK), jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, Manikumar dilaporkan hilang oleh abangnya pada 23 Mei 2016 selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar pada kira-kira 10 malam 22 Mei 2016.

Difahamkan, mangsa sempat menghantar khidmat pesanan ringkas memaklumkan dia diserang beberapa lelaki.

Rangka Manikumar bagaimanapun ditemukan pada 18 Jun 2016, iaitu hampir sebulan selepas abangnya membuat laporan kehilangan mangsa pada 23 Mei 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam melebihi tertuduh sebagai mencerminkan hasrat Parlimen menggubal undang-undang dan Seksyen 304 (a) KK yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

“Mohon hukuman berbentuk serampang dua mata, iaitu pengajaran kepada tertuduh dan mesej jelas kepada bakal pesalah agar tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Peguam S Daniel bagaimanapun merayu hukuman ringan termasuk tertuduh telah berada dalam tempoh reman yang lama sejak 3 Mac 2022 serta sudah menyesal dan insaf atas kesalahan itu selain menanggung empat anak dan isteri hanya bekerja sebagai tukang cuci.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap semula pada 3 Mac 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast