Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyerahkan cek Kutipan Sumbangan Wakaf Ilmu 2025 pada Majlis Berbuka Puasa bersama Tuanku Canselor UPM di Masjid Universiti Putra Malaysia, Serdang. Foto SADIQ SANI, 25 FEBRUARI 2026

SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Universiti Putra Malaysia (UPM) di Masjid UPM hari ini.

Keberangkatan baginda disambut Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pro Canselor UPM, Datuk Prof. Emeritus Dr. Muhamad Zohadie Bardaie; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Jailani Johari, dan Naib Canselor UPM,  Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah serta barisan pengurusan universiti sebelum bersama kira-kira 1,000 warga kampus dan komuniti setempat berbuka puasa dalam suasana penuh harmoni dan sederhana.

Majlis berkenaan turut menyaksikan baginda berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 50 pelajar asnaf yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, anak yatim, mualaf serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang juga Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Tuanku Canselor UPM di Masjid Universiti Putra Malaysia, Serdang. Foto SADIQ SANI, 25 FEBRUARI 2026

Inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal.

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menerima Dana Zakat UPM berjumlah RM10,290,426.32 yang diuruskan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak UPM (WAZAN).

Dana berkenaan merangkumi sumbangan zakat dan wakaf daripada pelbagai entiti termasuk Lembaga Tabung Haji dan Etiqa General Takaful Berhad selain zakat perniagaan dan zakat pendapatan daripada syarikat berkaitan universiti.

Turut diterima ialah Wakaf Ilmu UPM berjumlah RM1,216,965.57 bagi menyokong inisiatif akademik, bantuan kewangan pelajar serta pembangunan fasiliti universiti, selain sumbangan Wakaf Mesin Hemodialisis bernilai RM120,000 untuk kegunaan pesakit di Putra Renal Intervention & Dialysis Centre (PRINCE) UPM.

Sepanjang tahun 2025, WAZAN UPM telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM4.9 juta yang memberi manfaat kepada pelajar dan staf universiti, sekali gus memperkukuh peranan sosial UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang menitikberatkan kesejahteraan komuniti.

Majlis diakhiri dengan baginda berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama warga UPM, menzahirkan kepimpinan berteraskan nilai ihsan serta memperkukuh hubungan erat antara institusi diraja dan komuniti kampus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast