KUALA LUMPUR – Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) memberi jaminan tiada sebarang kehilangan dana hasil kutipan yuran pelajar seperti yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.
Pengurus Koperasi Siswazah Bangi Berhad, Dr. Muhammad Hafiz Md Saad berkata, semua kutipan telah diuruskan dan diserahkan kepada UKM mengikut terma yang termaktub dalam perjanjian.
Menurutnya, agihan yuran kepada UKM dibuat setelah pelajar melunaskan bayaran penuh bagi setiap semester.

Tambah beliau, prosedur pembayaran secara ansuran telah dipersetujui oleh pihak UKM sejak awal pelaksanaan bagi memudahkan pelajar dan telah berjalan lancar tanpa sebarang teguran sebelum ini.
“Kerjasama yang bermula sejak tahun 2017 itu telah menjana hasil sebanyak RM90.56 juta kepada pihak UKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lalu, LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendedahkan ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024 melibatkan Program Sarjana Pendidikan (SPEND)dan Program Diploma Pendidikan (DPLI) berjumlah RM60.77 juta.
Sementara itu, Muhammad Hafiz berkata, segala kutipan hasil bagi SPEND dan DPLI dibuat mengikut terma perjanjian yang masing-masing ditandatangani pada 1 Februari 2017 dan 15 Jun 2023.
Menurutnya, perjanjian DPLI mendapat kelulusan Mesyuarat Pengurusan Universiti (MPU), Senat, Jawatankuasa Tetap Kewangan (JKTK) serta Pejabat Penasihat Undang-Undang UKM.
“Mengenai isu kelulusan Menteri Kewangan, koperasi menegaskan bahawa prosedur tersebut adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pihak UKM selaku pemilik program dan penyedia dokumen perjanjian dan seharusnya dibetulkan pada Perjanjian Pertama pada tahun 2017,” katanya.
Sementara itu, berhubung penglibatan lima pegawai UKM dalam lembaga koperasi tersebut, Muhammad Hafiz menegaskan, mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan atau membuat keputusan bagi urusan di pihak UKM.
Jelasnya, jawatan pegawai berkenaan di universiti tidak melibatkan bidang kuasa pentadbiran atau kewangan yang berkaitan dengan koperasi.
“Malah, kesemua individu berkenaan telah menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sekiranya tidak mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan terus memastikan segala operasi dijalankan mengikut prinsip tadbir urus yang baik demi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.
Pada masa sama, tegasnya, pemantauan rapi terhadap sebarang fitnah dan tohmahan palsu terutamanya di media sosial sedang dilakukan dan tindakan perundangan akan diambil tanpa teragak-agak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar. – MalaysiaGazette
















