PUTRAJAYA – Sebanyak 177,000 pendaftaran telah direkodkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Program Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) sehingga 23 Februari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sambutan terhadap PRM 2.0 dijangka meningkat terutama menjelang musim perayaan ini.
“Trend program ini akan bertambah bergantung pada sambutan, semakin dekat musim perayaan semakin ramai yang datang dan kita tidak lagi menggunakan sistem janji temu bagi urusan PRM, sebaliknya membuka kaunter secara walk-in.
“Tetapi kalau walk-in, siapa cepat dia dapat, kalau tidak perlu tunggu esok. Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada individu yang hadir lebih awal bagi membolehkan urusan selesai pada hari sama.
“Mereka yang tidak sempat menyelesaikan proses perlu menunggu giliran pada hari berikutnya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Semarak Ramadan JIM di sini hari ini.
Tambah Zakaria, lebih 100,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi pelaksanaan PRM.
“Perkara ini memberi hasil yang memberangsangkan apabila kita berjaya menjana kutipan hasil melebihi RM88 juta untuk kerajaan setakat ini.
“Kita juga masih lagi berbincang di peringkat kementerian sama ada akan diteruskan atau ditamatkan selepas tempoh berkenaan pada 30 April ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, program pengampunan pulang PATI sukarela itu khusus untuk Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, melalui program berkenaan, pendatang asing terlibat dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan ditetapkan.
Bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dikeluarkan dikenakan kompaun sebanyak RM500.
Kesalahan melanggar syarat pas pula kompaun RM300 dikenakan dan bagi semua kategori permohonan, individu terlibat juga turut dikenakan bayaran pas khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran.
Kanak-kanak warga asing yang berumur di bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau dibawa masuk ke Malaysia tanpa suatu pas yang sah adalah dikecualikan daripada kompaun, namun perlu membayar pas khas yang sama (RM20).
PRM 2.0 merupakan lanjutan siri pertama yang tamat pada 31 Mac tahun lalu
Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata, PRM 2.0 itu tidak ditawarkan kepada PATI yang telah mendaftar dan gagal membuat perjalanan keluar di bawah program sama sebelum ini. – MalaysiaGazzete
















