KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan peningkatan jumlah penahanan individu atau aktivis berkaitan isu Agama, Raja dan Kaum (3R) berpunca daripada tekanan atau agenda politik pihak tertentu, sebaliknya menegaskan semua tindakan dibuat berdasarkan laporan awam dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penahanan termasuk membabitkan penyelaras himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (Garah), Zamri Vinoth serta Cikgu Chandra awal bulan lalu dilaksanakan selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada orang awam.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited menyiasat mana-mana individu yang melakukan kesalahan tanpa mengambil kira latar belakang atau kecenderungan politik.
“Semua individu yang melakukan kesalahan akan disiasat tanpa mengira status. PDRM komited menangani isu yang boleh menyebabkan kegentaran awam, menggugat keamanan negara dan keharmonian masyarakat.
“PDRM perlu diberi kepercayaan untuk menjalankan siasatan secara telus dan semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu 3R,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang mempersoalkan jumlah individu ditahan sejak kebelakangan ini didakwa lebih ramai berbanding yang didakwa di mahkamah, termasuk kes melibatkan Zamri dan Cikgu Chandra, serta sama ada ia berkait arahan tertentu bermotif politik.
Mengulas peningkatan tangkapan di bawah Akta Hasutan 1948 berbanding sebelum 2018, Shamsul Anuar menjelaskan, keadaan itu dipengaruhi oleh perkembangan media sosial yang mempercepatkan penyebaran sesuatu kandungan.
Katanya, dalam tempoh 2024 hingga 2025, sebanyak 90 tangkapan dibuat di bawah akta berkenaan dengan 14 daripadanya telah didakwa atas kesalahan menghasut.
“Peningkatan tangkapan adalah manifestasi ketegasan PDRM dalam menangani penyebaran kandungan sensitif melibatkan elemen 3R bagi memastikan ia tidak menular secara ekstrem.
“Walaupun peningkatan jumlah Kertas Siasatan (KS) adalah kecil, jumlah tangkapan meningkat lebih ketara berikutan penglibatan kumpulan atau individu yang bertindak secara kolektif menyebarkan kandungan berunsur hasutan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan penurunan jumlah pertuduhan menunjukkan kerajaan berhati-hati dalam meneruskan pendakwaan.
Menurutnya lagi, setiap kes akan dinilai secara terperinci oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia (AGC) bagi memastikan hanya kes dengan bukti kukuh dibawa ke mahkamah, manakala selebihnya diselesaikan melalui kaedah amaran atau pemantauan berterusan.
“Sebarang tindakan siasatan atau tangkapan dibuat berlandaskan undang-undang dan bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, selagi mana ia tidak melangkaui batas sehingga menggugat keharmonian negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















