Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak saman pemula yang dikemukakan oleh empat aktivis haiwan terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kematian anjing liar, Kopi.

Pesuruhjaya Kehakiman Yusrin Faidz Yusoff memutuskan demikian tanpa kos terhadap saman pemula yang difailkan Dr. Kartini Farah Abd. Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San dan S. Shashi Kumar.

Keputusan secara dalam talian itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Adam Luqman Amdan yang mewakili MDB.

Pada 12 Oktober 2024, media melaporkan, Kopi yang pernah tular pada Mac selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar di sebuah taman perumahan di Terengganu, ditemukan mati ditembak.

Menurut Adam Luqman, Yusrin Faidz berpuas hati bahawa keempat-empatnya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mengemukakan saman terhadap kedua-dua defendan.

Menurut hakim, aktivis tersebut tidak mempunyai kepentingan sebenar dalam kejadian itu kerana keempat-empatnya bukan penduduk Besut yang menjadikan kepentingan mereka terjejas.

Ujarnya, plaintif gagal menunjukkan bahawa mereka pihak yang terjejas seperti yang ditetapkan dalam kes Datuk Bandar Kuala Lumpur melawan Perbadanan Pengurusan Trellises dan Lain-Lain.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Terengganu tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap keadaan yang diakibatkan oleh tembakan ke atas anjing berkenaan.

Beliau selanjutnya menyatakan, Seksyen 9(1) dan (2) Undang-Undang Kecil Lesen Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990 (UUK) digubal secara sah di bawah Seksyen 73(1)(m) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Seksyen itu menyatakan bahawa menembak dengan senjata api dibenarkan di bawah Seksyen 30(2)(e) Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015 yang menjadikan tindakan MDB di bawah undang-undang kecil, adalah sah.

Plaintif-plaintif diwakili peguam Harvinpal Kaur. Selain Adam Luqman, MDB turut diwakili peguam Mohammad Zaid Daud dan Mohd. Munzeer Zainul Abidin manakala Peguam Persekutuan Zulfazliah Mahmud mewakili Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 10 Disember 2024, keempat-empat aktivis berkenaan memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa tindakan menembak anjing liar itu menggunakan senjata api oleh MDB, melanggar Seksyen 30(1) dan penembakan mengikut Seksyen 30(2) AWA.

Ujar mereka, Seksyen 30(1) jelas memperuntukkan bahawa tembakan menggunakan senjata api terhadap mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain adalah tidak dibenarkan.

Kejadian berlaku pada 1.30 pagi, 6 Oktober 2024 apabila tiga pegawai MDB dilihat penduduk menembak seekor anjing terbiar ketika membuat operasi menangani anjing liar menggunakan trak pikap di kawasan itu.

Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi video berdurasi 52 saat yang memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast