KUANTAN – Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa tragedi kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub, awal pagi tadi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya bersimpati dengan keluarga mangsa dan memberi jaminan kebajikan mereka akan diberi perhatian.
“Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat besar ini.
“InsyaAllah, Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya serta memastikan kebajikan keluarga mangsa diberikan perhatian sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mendoakan agar ahli keluarga yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat itu serta mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 pagi itu, lima sekeluarga iaitu pasangan suami isteri Mohd Alawi Muhammad, 56 dan Zaleha Adam @Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17; Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14;dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10 ditemukan maut selepas rumah separuh kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi yang didiami mereka musnah dalam kebakaran. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
- Lima Sekeluarga Rentung: Dua Anak Mangsa Terselamat #MGFlash
- Sultan, Tengku Ampuan Pahang zahir ucapan takziah tragedi lima sekeluarga maut dalam kebakaran
















