KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa Kerajaan Madani mengambil tindakan segera yang lebih efektif, telus dan bertanggungjawab susulan gangguan teknikal yang berulang kali melibatkan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya.
Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia perlu demi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam negara kembali diyakini serta berfungsi dengan lebih baik untuk rakyat.
Menurutnya, gangguan yang sering berlaku itu secara langsung menyebabkan ramai pengguna beralih kepada kenderaan persendirian, sekali gus meningkatkan kesesakan lalu lintas di seluruh bandar raya, khususnya di laluan utama ke pusat bandar dan kawasan perumahan.

Tambahnya, LRT Laluan Kelana Jaya merupakan antara laluan rel bandar paling kritikal di Lembah Klang dengan jajaran sepanjang hampir 46 kilometer, merangkumi 37 stesen, dan kapasiti pergerakan ratusan ribu penumpang sehari pada hari bekerja.
“Sebarang gangguan pada laluan ini bukan insiden kecil, ia memberi kesan langsung kepada aliran mobiliti tenaga kerja, pelajar serta kelangsungan aktiviti ekonomi bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Khairil Nizam, antara langkah segera yang wajar diambil adalah dengan memperuntukkan dana khas bagi tujuan peningkatan infrastruktur, sistem kawalan dan komponen kritikal yang berulang kali mengalami kerosakan.
Katanya, ia termasuk memastikan sistem yang usang dikemas kini dan standard kualiti operasi dipertingkatkan.
Selain itu, ujarnya, Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) mesti menyegerakan siasatan teliti dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan teknikal termasuk sebarang kelemahan dalam penyelenggaraan, pengurusan sistem atau faktor lain yang menyebabkan gangguan berulang.
“Jika hasil siasatan menunjukkan kegagalan penyelenggaraan, walaupun peruntukan telah disalurkan, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
“Ini termasuk tindakan tatatertib, pembaharuan kontrak atau penalti setimpal selaras peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu membentangkan pelan strategik jangka panjang termasuk penambahan gerabak kereta api, peningkatan kekerapan perkhidmatan, serta sistem sokongan teknikal supaya pengguna mendapat perkhidmatan yang lebih efisien, tepat masa dan selamat.
Tegasnya, pengangkutan awam yang berkualiti tinggi bukan satu pilihan, sebaliknya adalah keperluan asas rakyat.
Ujarnya, gangguan berulang yang menjejaskan perjalanan harian pengguna serta mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang semakin parah bukan sahaja menyusahkan, malah menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam Malaysia secara keseluruhannya.
“Jika isu ini tidak ditangani secara tuntas, usaha kerajaan untuk menggalakkan peralihan kepada pengangkutan awam akan terus terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette
















