PUTRAJAYA – Seorang lelaki diburu polis disyaki terlibat dalam kes curi sebuah motosikal di kawasan parkir kenderaan di Residensi Adelia, Bangi, Selangor pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 36 tahun
“Siasatan di lokasi kejadian telah dijalankan dan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki dipercayai mencuri motosikal jenis Honda NSS250A.
“Susulan itu, tindakan mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan kunci tambahan bagi mengurangkan risiko kecurian motosikal.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 atau pegawai penyiasat, Sarjan R. Ganesan di talian 012-6089180,” jelasnya. – MalaysiaGazette















