Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 16 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – UMNO membuat keputusan strategik apabila Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini sebulat suara bersetuju menangguhkan pemilihan parti, dalam usaha memusatkan kekuatan jentera menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan media selepas mesyuarat berkenaan.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini kepada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Parlimen ke-16 selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.6.1 dan Fasal 10.6.2,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Untuk rekod, UMNO sepatutnya mengadakan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat bagi memilih kepimpinan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Penangguhan itu dilihat sebagai langkah konsolidasi dalaman, sekali gus mengelakkan pertembungan tenaga dan tumpuan ketika parti berdepan kemungkinan pembubaran Parlimen atau pilihan raya negeri yang boleh berlaku pada bila-bila masa bermula tahun ini.

“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan PRN dan PRU-16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” jelas Asyraf Wajdi lagi.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan mesyuarat turut memperincikan beberapa ketetapan penting termasuk penetapan tarikh persidangan tahunan di semua peringkat parti bagi tahun 2026.

Menurutnya, Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan akan berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei 2026, manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian diadakan pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

Sementara itu, Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos depan, yang dijangka menjadi pentas penting memperkukuh hala tuju parti menjelang gelanggang pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast