Pusat Repository Konservasi Seni Negara (Art Hospital) merupakan tempat penyelidikan koleksi, demonstrasi dan pengkaji seni serta bahan-bahan arkib. Kerja-kerja akhir proses konservasi juga dapat disaksikan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 08 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara terus memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan koleksi seni visual negara melalui pelaksanaan inisiatif Conservation in Action, iaitu satu pendekatan konservasi secara terbuka yang membolehkan pengunjung menyaksikan secara langsung proses kerja-kerja konservasi dijalankan di ruang galeri.

Inisiatif ini berfungsi sebagai platform pendidikan awam yang bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan konservasi dalam memastikan kelestarian karya seni untuk jangka masa panjang.

Menerusi Conservation in Action, pengunjung berpeluang menelusuri proses teknikal yang terlibat dalam pemuliharaan karya, termasuk pemeriksaan kondisi serta langkah-langkah pencegahan bagi mengawal faktor persekitaran yang berpotensi menjejaskan keadaan fizikal karya.

Menrutnya, pendekatan ini turut memperkasa fungsi Art Hospital yang berperanan dalam menjaga, merawat dan memelihara koleksi seni visual negara.

Sepanjang pelaksanaan inisiatif ini, Cawangan Konservasi akan menjalankan kerja-kerja cucian terhadap karya bertajuk Imitation Master – Legacy, BSN2025.006(H), oleh pelukis Ali Nurazmal Yusoff yang kini dipamerkan di Galeri 2A menerusi Pameran Perolehan TERKINI 2015–2025.

Kerja-kerja konservasi tersebut berlangsung bermula 24 Februari hingga 15 Mac 2026, dari jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung semula pada jam 2.30 petang hingga 4 petang sepanjang tempoh berkenaan.

Justeru, Balai Seni Negara menjemput orang ramai hadir menyaksikan proses ini serta menghargai kepentingan konservasi dalam memastikan karya seni terus terpelihara.

Kemasukan adalah percuma. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast