MELAKA – Seorang lelaki didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah mengeluarkan perkataan kesat terhadap seorang anggota polis, dua minggu lalu.
Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleimen mengenakan denda itu terhadap Yeo Khen Toon, 50 selepas tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan terhadap seorang anggota polis lelaki bertujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Kesalahan dilakukan di Elmark Hotel 4A Jalan Melaka Raya 23, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 2.40 pagi 14 Februari lalu.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil Tahun 1955.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak merakam gambar anggota polis sedang bertugas yang menahan seorang suspek berkaitan kes dadah sebelum diminta untuk menghentikan tindakan itu.
Bagaimanapun, tertuduh bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang anggota polis sebelum ditahan atas kesalahan itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek
merayu denda minimum atas alasan tertuduh tidak bekerja, mengidap kencing manis dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. – MalaysiaGazette
















