KUANTAN – Seorang lelaki warganegara Thailand ditahan kerana memiliki daun ganja seberat anggaran 488 gram di hadapan tandas awam Plaza Tol Maran semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran hasil risikan yang dijalankan.
“Hasil pemeriksaan polis menjumpai di dalam beg galasnya satu keratan bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat anggaran 488 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Wong menegaskan BSJN IPD Maran tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti menjual dan menghisap dadah.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa memiliki, mengedar dan melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang. – MalaysiaGazette














