Chong Chin Jong diiringi keluar selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen 2 Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang operator kilang didenda RM10,000 selepas didapati bersalah memberi maklumat akaun bank dan membenarkan orang lain mempunyai kawalan ke atas akaun bank miliknya itu sehingga disalahguna dalam kegiatan penipuan pelaburan saham atas talian.

Chong Chin Jong, 33 sebelum itu mengaku salah di hadapan Hakim Sazlina Safie di Mahkamah Sesyen 2, di sini hari ini selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 12 Mac 2025 kira-kira jam 10.15 malam sehingga 13 Mac 2025 kira-kira jam 10.42 pagi di sebuah rumah di Lorong Seri Teruntum 21, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa dibawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak kurang dari satu tahun tetapi tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu didapati telah membuat dua kali transaksi pemindahan wang ke dalam akaun CIMB Bank atas nama tertuduh berjumlah RM 195,000 pada tarikh berkenaan.

Transaksi pindahan wang itu dibuat selepas pengadu dikehendaki berbuat demikian oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai “Jess Aisyah” ketika menyertai satu pelaburan saham secara atas talian bernama “Quantum”.

Pengadu dipujuk untuk membuat pelaburan yang lebih besar akan tetapi dia tidak mempunyai modal yang cukup dan mahu mendapatkan semula wang pelaburannya, namun pelbagai alasan diberikan dan pengadu disyaki telah ditipu.

Menerusi mitigasi rayuan pengurangan denda, Peguamnya, Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi memaklumkan mahkamah anak guamnya itu hanya beroleh pendapatan RM2,000 sebulan dan membantu menyara kedua ibu bapanya.

Selain itu, katanya, Chong juga dikategorikan sebagai mangsa kerana pada awalnya dia diperdaya untuk menyerahkan maklumat akaun peribadinya dalam cubaannya untuk mencari pasangan menerusi satu platform pencarian jodoh secara atas talian.

“Dan tanpa disangka, akaun bank milik tertuduh telah pun disalahguna oleh pihak ketiga. Dan saya percaya, walaupun tertuduh adalah pemilik akaun, sebarang transaksi kemasukan wang khusus daripada pengadu dalam kes ini tidak diterima dalam apa-apa manfaat oleh tertuduh.

“Dalam erti kata lain, mangsa dalam kes ini adalah mangsa keadaan dan merupakan seorang keldai akaun. Tertuduh berjanji akan lebih berhati-hati dalam mengawal selia akaun peribadi bank tertuduh pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, katanya,  tertuduh memohon dikenakan denda paling minima dan ia dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari.

Hakim Sazlina Safie kemudian mengenakan denda RM10,000 dan penjara dua bulan jika gagal membayar denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast