KUALA LUMPUR – PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih RM45.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, menyusut 18 peratus berbanding RM55.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Penyusutan disebabkan oleh purata harga yang direalisasikan yang lebih rendah, jumlah jualan yang lebih rendah, impak pertukaran asing dan pelaburan Kumpulan Engen.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, syarikat minyak nasional itu kekal komited untuk memperkukuh daya tahannya dan memajukan penciptaan nilai melalui pertumbuhan yang berdisiplin dalam mengharungi persekitaran makro yang semakin mencabar.
Menurut beliau, dalam keadaan pasaran yang tidak menentu dan kos yang meningkat, PETRONAS terus memperkukuh daya tahan portfolio melalui perkongsian strategik, penambahbaikan kualiti portfolio serta inisiatif yang menjana nilai tambah.
“Strategi Peralihan Tenaga PETRONAS telah diperkenalkan bagi memandu usaha seluruh kumpulan dalam menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan serta persekitaran operasi yang mencabar.
“Strategi ini merangkumi, pertama, memperkukuh perniagaan teras kami iaitu hidrokarbon dan kedua mempercepat pertumbuhan baharu yang menjana nilai serta ketiga dengan mengurus pelepasan secara bertanggungjawab merentasi rantaian nilai bersepadu kami.
“Tiga tonggak utama ini kekal relevan sepanjang masa dan terus signifikan dalam menghadapi pelbagai perkembangan global yang tidak dijangka,” katanya sidang media Pengumuman Keputusan Kewangan Kumpulan PETRONAS bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, dalam tempoh dikaji, PETRONAS memaklumkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) juga berkurang 10 peratus kepada RM103.0 bilion, selaras dengan keuntungan yang lebih rendah.
Pada 2025, Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM85.2 bilion, sejajar dengan paras EBITDA yang lebih rendah.
“Dari segi perbelanjaan modal, Pelaburan Modal (CAPEX) berjumlah RM41.6 bilion, terutamanya bagi menyokong aktiviti pembangunan dan pengeluaran sektor huluan (Upstream).
“Jumlah aset Kumpulan mengukuh kepada RM775.0 bilion dan bagaimanapun, ekuiti pemegang saham menurun kepada RM448.3 bilion, terutamanya disebabkan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham serta pergerakan pertukaran asing, yang sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan dalam tempoh tersebut,” kata syarikat itu dalam kenyataan berasingan.
Syarikat yang ditubuhkan pada 1974 itu menambah, PETRONAS akan menggandakan usaha untuk memperkukuh portfolio dan kedudukan kewangan di sebalik cabaran geopolitik dalam industri dijangka terus berlarutan. – MalaysiaGazette

















