KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh barisan kepimpinan peringkat tinggi menerusi pelaksanaan Premier Transformational Leadership Development Programme (PTLDP).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi memperkasakan keupayaan analitikal dan pemikiran strategik dalam kalangan pegawainya.
“Barisan kepimpinan gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C SPRM perlu berkemahiran dalam memberikan pandangan serta idea bernas yang mempunyai nilai praktikal khususnya apabila berhadapan dengan khalayak dan dalam membimbing pegawai bawahan agar setiap isu dapat diselesaikan secara konklusif.
“Kepimpinan tidak hanya bersandar kepada teori sebaliknya perlu diterjemahkan melalui keupayaan menyelesaikan masalah, membina keyakinan, tegas dalam membuat keputusan dan mengutamakan hasil,” katanya pada Majlis PTLDP JUSA C Siri 5 Bil.1/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Tegas beliau, pegawai terbabit perlu sentiasa bersiap siaga memandangkan tanggungjawab yang bakal digalas semakin mencabar dan tidak boleh mengambil mudah aspek pengurusan.
“Sikap complacent atau mengambil mudah terhadap sesuatu perkara perlu dihentikan. Ketika berhadapan situasi krisis, prinsip ‘No Delay’ atau tanpa lengah adalah mandatori,” katanya.
Dalam pada itu, Azam menyeru supaya pegawai SPRM menguasai kemahiran kritikal dalam aspek pemikiran strategik, penyelesaian masalah dan analisa situasi untuk memastikan daya tahan organisasi.
Terdahulu, seramai tujuh pegawai PTLDP JUSA C Siri 5 Bil.1/2026 membentangkan kertas kerja yang disusuli sesi soal jawab bersama panel penilai.
Pegawai terbabit juga telah mengikuti kursus PTLDP JUSA C pada 3 hingga 27 Februari 2026 yang dikendalikan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Turut diadakan sesi penyampaian sijil penyertaan PTLDP Siri 5 Bil.1/2026 oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya kepada para peserta. – MalaysiaGazette
















